Thursday, March 8, 2007

Ucapan Pengarah KITAB: Malam Ini Perjuangan Para Tutor KITAB Bermula

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Sudah beberapa minggu, semua AJK KITAB bersusah payah untuk melaksanakan program ini. Ada yang terpaksa mengharungi hujan untuk ke rumah-rumah warga Desa Bakti, mengirimkan surat. Ada yang terpaksa meninggalkan kem di hutan, untuk memberi sokongan dan kekuatan dalam menjayakan program ini.

Ada yang terpaksa membebankan minda antara tugasan akademik dengan tugasan program. Ada yang terpaksa melangkah dari satu bangunan ke satu bangunan untuk menampal poster. Ada yang terpaksa ke hulu ke hilir memastikan bilik-bilik program boleh digunakan pada malam program. Ada yang terpaksa bersediap sedia menghadapi pertanyaan dan SMS daripada para mahasiswa yang berminat untuk menjadi tutor. Ada yang terpaksa merujuk di sana dan di sini untuk menyiapkan surat-surat berkaitan program, demi memastikan segalanya adalah tepat untuk diedarkan. Saya, selaku pengarah program, amat tersentuh hati dengan usaha anda semua.

Namun pada malam ini, perjuangan kita sebagai tutor akan bermula. Para mahasiswa sekalian, saya amat-amat berterima kasih kepada semua mahasiswa, tidak kira dari Fakulti Pendidikan atau dari fakulti lain, atas sokongan dan keikhlasan hati anda untuk berjuang bersama-sama KITAB. Ini adalah satu usaha, di mana, kita semua akan diuji, bagaimana mahu memberikan kualiti perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat tanpa sebarang ganjarang wang. Ini adalah perjuangan, di mana kita berpeluang untuk melihat kelemahan diri kita, dan memperbaikinya.

Biarpun program ini berbentuk santai, namun apa yang anda lakukan semasa program ini, akan menentukan mutu dan keberkesanannya. Oleh itu, saya berharap agar para tutor sekalian, dapat melaksanakan apa-apa yang tersebut dalam Panduan Tutor yang telah saya sediakan itu dengan sebaik-baiknya. Mari kita jadikan budaya intelektual sebagai satu aktiviti mingguan yang dapat membawa manfaat kepada semua pihak.

Pada malam ini, kita membawa imej kita sebagai mahasiswa UTM Skudai. Mari kita sama-sama menjunjung moto kebanggaan universiti kita, "Kerana Tuhan Untuk Manusia."

Sekian, terima kasih.


Yang benar,
Mohd Amien Mohd Yasin.
(Pengarah Program KITAB)
Fakulti Pendidikan,
Universiti Teknologi Malaysia.