Tuesday, March 6, 2007

Pesanan Daripada Pengarah KITAB: Jadilah Tutor KITAB Yang Bahagia

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua tutor KITAB.

Semua mahasiswa, bahkan semua orang, tidak kira agama atau bangsa, boleh menjadi Tutor KITAB yang baik, boleh membimbing anak-anak dan masyarakat setempat. Apabila kita melakukan kebaikan atau kebajikan, hati kita akan berasa lapang. Ini kerana kita sebagai manusia sememangnya mempunyai hati yang berkeinginan untuk melakukan kebaikan.


Namun begitu, jika anda merasa susah hati atau tidak bahagia semasa menjadi Tutor KITAB atau sepanjang anda hidup di muka bumi ini, maka periksalah diri anda, sekiranya anda memiliki sifat-sifat mazmumah seperti di bawah. Sekiranya ada, cubalah kikis dan buang jauh-jauh sifat-sifat yang tidak membawa apa-apa kebaikan dan kebahagiaan pada diri anda:


1. Pemarah
Sifat pemarah, kasar dan biadab boleh menyebabkan anda tidak disukai ramai. Sikit-sikit nak meninggikan suara, sikit-sikit nak menengking, sikit-sikit naik angin. Sikit-sikit tumbuk meja, tendang kerusi, mengaum macam harimau. Harimau pun tak mengaum sedap-sedap mulut Tahu juga makhluk Allah tu jaga suara dia biarpun vokalnya setanding dengan Kak Adibah Noor.

Tidak guna anda bersikap kasar, bercakap megah seolah-olah itu sahaja caranya untuk jadi seorang lelaki atau pun iron lady. Biarpun orang tu pembengis, tetapi kalau lari dari medan perang tak guna juga. Biarpun orang tu panas baran, tapi mati masuk neraka pun apa untungnya? Dibenci di dunia, diseksa di akhirat. Khalifah Umar pun tahu berubah sikap selepas masuk Islam. Buang sifat pemarah, pembengis, panas baran, periuk menggelegak dan seangkatan dengannya jauh-jauh.

Apabila anda bersikap kasar, tutee-tutee pun takut mendekati anda. Tutor-tutor pun takut mendekati anda. Pengarah KITAB, Cikgu Amien pun malas nak berbual-bual dengan anda. Apatah lagi Melissa, Sally, Aemyliza, Shamilatul, Farahwahida, Halimatul, Maisarah, Chu Wai Seng, Dzulfadli, Dayana, Shikin, Syed dan lain-lain. Orang yang pemarah, jarang mendapat kawan, malah dijauhi orang. Oleh itu senyumlah, senyum itu jambatan persahabatan.


2. Pendendam
Kadangkala, apabila anda menjadi guru, anda pasti akan berdepan dengan anak-anak didik yang agak kurang ajar. Mereka mungkin memancitkan tayar motosikal anda, mencalarkan kereta anda, melakukan vandalisme, menconteng dinding dengan perkataan-perkataan yang menghina anda atau sesiapa sahaja yang anda sayangi.

Adakah anda akan berdendam dengan mereka? Bagaimana anda, sebagai pendidik boleh berdendam terhadap anak didik anda. Bentuk mereka, bentuk anak-anak didik anda. Jika anda tersakit hati dengan kata-kata kasar atau biadab anak-anak didik anda, maka amalkan percakapan yang baik. Hati kita akan berasa tenang dan senang apabila melihat anak-anak didik kita berubah sikap, menjadi seorang yang berbudi bahasa.

Oleh itu, anda sebagai tutor atau pendidik, elakkan daripada mengucapkan kata-kata kasar terhadap anak didik anda dan terhadap tutor-tutor yang lain. Berbuallah dengan anak didik anda dengan perkataan-perkataan yang baik, nescaya mereka pasti akan turut mengikuti anda. Sebab itu, dalam program KITAB, kelakuan, percakapan dan pemakaian anda sebagai Tutor perlu dijaga.


3. Hasad dengki
Apa gunanya anda beramal sekiranya hati anda dipenuhi perasaan hasad dan dengki. Amalan anda akan hangus kerana wujudnya sifat mazmumah ini dalam diri anda. Jangan berhasad dengki apabila melihat tutor-tutor lain senang mengajar atau disenangi oleh anak-anak didik mereka. Anda juga boleh.

Cuba teliti apa kekurangan dalam diri anda yang menyebabkan anda tidak disukai oleh anak didik. Percakapan andakah? Cara memberi tunjuk ajar andakah? Sikap andakah? Atau mungkin pemakaian anda? Mungkin anda memakai pakaian seksi sehingga anak didik malu untuk mendekati anda? Mungkin anda berlaku kasar sehingga menyakiti hati anak didik anda? Tidak ada manusia yang benar-benar sempurna, anda harus membuang sifat suka berhasad dengki ini. Menambahkan dosa dan menyakitkan hati anda sahaja. Tak ada maknanya!

Anda, ah, bukan andalah, tetapi orang lain. Orang lain mungkin berhasad dengki kerana melihat tutor-tutor lain ada memegang jawatan dan pangkat yang lebih tinggi? Kenapa? Pangkat itu tanggungjawab, bukan untuk menunjuk-nunjuk. Seseorang itu tidak dipandang tinggi di mata Tuhan hanya semata-mata dia berpangkat, tetapi seseorang itu disayangi Tuhan kerana keikhlasan hatinya dalam melakukan kebajikan.

Jika anda mempunyai sifat berhasad dengki, betulkan niat anda. Jadilah tutor KITAB yang tulus hati dan budinya.


4. Bakhil
Anda ingin menderma, tetapi wang anda tidak cukup. Jangan risau, kita mempunyai ilmu yang boleh dikongsi bersama-sama. Ilmu itu adalah hadiah yang sangat baik. Sebarkan ilmu yang anda ada, biarpun sedikit. Ingatlah, tidak ada gunanya menjadi orang yang berilmu tetapi tidak disebarkan ilmu tersebut.

Jangan bakhil atau kedekut. Luangkan masa untuk melakukan kebajikan. Ada di kalangan mahasiswa yang sanggup berhabis duit dan masa untuk perkara sia-sia seperti untuk permainan video, menonton anime, menelefon kekasih, menonton wayang dan sebagainya, tetapi tidak pula mampu untuk meluangkan masa untuk perkara-perkara kebajikan. Anak siapalah itu?

Ada satu percakapan mengatakan: Allah lebih sayang orang yang fasiq tetapi pemurah tetapi benci orang yang abid tetapi bakhil. Kerana walaupun fasiq, pemurahnya itu tetap memberi manfaat kepada orang lain kerana kadangkala rezeki itu Allah beri melalui manusia. (Betul tak Ustaz dan Ustazah sekalian? Jika salah, sila tegur saya.)


5. Tamak
Semasa menjadi tutor KITAB, adakah anda berasa kecewa kerana tidak ada makan minum? Adakah anda mengharapkan sijil semata-mata? Anda akan susah hati. Ingatlah, Allah itu Maha Penyayang lagi Maha Mengetahui. Allah tahu apa yang anda buat. Sesiapa yang berbuat baik kepada orang lain, Allah akan memberi kebaikan kepadanya. Sesiapa yang bermanfaat kepada orang lain, Allah akan memberi manfaat kepadanya. Tuluskan hati anda. Ikhlaskan hati anda sebagai tutor KITAB.

Ingat! yang dikatakan harta atau rezeki kita adalah apabila ia dipakai atau digunakan oleh kita. Selagi tidak diguna iaitu disimpan, itu belum boleh dikatakan rezeki kita., mungkin ada hak orang lain di sit. Biarlah rezeki itu sedikit tetapi mendapat keberkatan iaitu dapat dimanfaatkan.


6. Tidak sabar
Sebagai seorang tutor atau pendidik, anda mestilah memiliki kesabaran. Kesabaran adalah simbolik kebijaksanaan. Contohi sikap Penasihat PMP, En. Hassan Hushin. Penulis sangat kagum dengan sifat penyabar yang dimilikinya. Mungkin anak didik anda sukar diajar, bermasalah dalam pembelajaran. Ajar sekali, tak faham, ajar dua kali pun tak faham-faham. Bersabarlah.

Dalam dunia ini ada ramai manusia yang dilahirkan dengan masalah pembelajaran. Sebab itu, di Malaysia ini ada Pendidikan Khas. Di negara-negara lain pun ada juga Pendidikan Khas. Tujuannya untuk membantu anak-anak yang bermasalah dalam pembelajaran. Ada yang bermasalah membaca, ada yang bermasalah dalam pengiraan dan ada juga yang bermasalah untuk memahami percakapan orang lain. Eh, ada juga yang bermasalah untuk bertutur. Bersabarlah.

Ini adalah salah satu matlamat KITAB, iaitu membantu mengesan masalah pembelajaran anak-anak didik. Sekiranya anda menemui tutee yang bermasalah, maklumkan kepada pihak jawatankuasa KITAB.

Sebab itu, anda perlu menulis refleksi kendiri selepas tamat kelas KITAB. Tujuannya adalah untuk membantu anda mengesan kelebihan dan kelemahan diri sebagai tutor. Perbaiki diri anda.

Unit-unit yang paling perlu banyak bersabar semasa hari Program KITAB berlangsung nanti ialah unit-unit Persiapan Tempat, Unit-unit Penyelarasan Tutor dan Unit-unit Keselamatan. Pengarah Program dan lain-lain MT pun kena bersabar juga.Ya, betul. Pengarah Program KITAB, Cikgu Amien tu, siapa tak tahu, masuk aja waktu tengah hari. Migrain. Kadang-kadang sampai tengah malam. Sebab tu kadang-kadang muka dia nampak garang sikit. Sebab dia bersabar, tengah tahan sakit, nak bercakap pun kena slow talk orang kata. Eh, terkena diri sendiri. Tak apa.

Doakan semua jawatankuasa KITAB, peserta KITAB dan sesiapa sahaja sembuh daripada kesakitannya. Semoga masalah kesihatan tidak menjadi penghalang dalam melaksanakan perjuangan kita sebagai mahasiswa UTM Skudai. Mari kita belajar bersabar, pada masa yang sama kita hendaklah belajar untuk menjaga kesabaran orang lain.


7. Ego
Sifat terkutuk dalam diri manusia. Dikatakan sebagai ibu segala mazmumah. Anda rasa diri anda tidak tenang? Mungkin sebab sifat ego yang masih ada dalam diri anda. Tidak boleh tengok orang lain lebih, ada kelebihan daripada anda. Tidak boleh lihat orang lain mengatasi anda. Tak boleh tengok si mamat tu pakai BMW. Tak boleh tengok kakak tu pakai gelang emas. Tidak boleh lihat orang lain lebih cantik mekapnya daripada anda. Astagfirulahazim. Itu pun nak berkira juga. Orang yang memiliki sifat ini pantang tercabar dari sudut zahir mahu pun batin. Setiap orang memiliki egonya sendiri, namun pandai-pandailah kita mengawalnya.


8. Riak
Sebagai seorang tutor KITAB. Janganlah anda mengharapkan sebarang pujian. Janganlah anda ternanti-nanti pujian. "Awak ni pandailah, tetapi adik saya lagi pandai daripada awak!" Hah, itu apa cerita. Bila dah kena macam tu, baru terasa. Jangan pula, sebab nak menunjukkan anda ini seorang Tutor KITAB yang hebat, anda selesaikan semua latihan Matematik dalam buku-buku latihan Tutee anda. Terbeliak mata budak tu nanti. Abang/kakak Tutor ni nak mengajar akukah atau nak tunjuk hebat?

Hati-hati, jangan sampai terkeluar kata-kata, "Alah soalan macam ni, seminit sahaja aku boleh siapkan. Orang lain ambil masa 10 minit."

Jaga-jaga. Jangan riak. Orang yang riak, suka berpura-pura untuk mengharapkan pujian. Apabila orang memuji, bertambah baik kerjanya, apabila dikritik, bertambah merosot kerjanya. Tolong jangan buat begini, para tutor yang dihormati sekalian. Ingat apa matlamat penubuhan KITAB. Program ini dibuat untuk mendidik mahasiswa supaya menjadi pendidik yang berkualiti bukan kerana wang, bukan kerana pujian. Tingkatkan kualiti anda tidak kira sama ada anda dikritik atau pun dipuji.

9. Cinta dunia
Kita hidup di dunia cuma sementara. Jangan mengejar harta benda, mengejar kepentingan diri semata-mata. Luangkan masa untuk kebajikan. Duit itu kalau terbakar, hanguslah dia. Namun amal kebajikan itu adalah saham anda di akhirat. Hari ini anda mengajar anak En. Hamid, esok lusa anda mengajar anak Kak Ana (Anjung Warisan Kafe, Kolej Rahman Putra, Penaja Air Minum kita). Cuba bayangkan, esok lusa, anak En. Hamid pula mengajar kawan-kawan dia, dan anak-anak Kak Ana pula mengajar kawan-kawan dia. Ilmu yang anda sampaikan disebarkan. Saham juga tu.

Apabila datang ke Kelas KITAB sebagai tutor, semasa melangkah keluar dari pintu bilik kolej anda, niatkan dalam hati, anda ikhlas menjadi tutor kerana ikhlas untuk membantu anak bangsa, ingin mendapat keredhaan-Nya, dan pada masa yang sama untuk meningkatkan kualiti dan kepakaran sebagai seorang pendidik, supaya dapat memberi manfaat dan faedah kepada masyarakat kita, agama kita dan negara kita. Sekiranya anda ditakdirkan mati semasa dalam perjalanan ke kelas KITAB, apakah rasionalnya? Niat anda ketika itu mahu berbakti, mahu berjihad...

Ya Allah, Ya Tuhanku... berilah keberkatan, keredhaan, kemudahan dan rahmat kepada kami, sekalian tutor-tutor KITAB. Berilah kebahagiaan, kejayaan dan kegembiraan kepada semua yang terlibat secara langsung mahu pun tidak langsung dalam menjayakan KITAB.

Amin.

Selamat berjuang kepada semua tutor KITAB. Tetapkan hati kita semua, membimbing untuk mendapat keredhaan-Nya.