Thursday, April 5, 2007

KITAB: 5/5 Kelas Akhirnya Terlaksana

RABU, 4 APRIL 2007, FAKULTI PENDIDIKAN: Berakhirnya kelas pada malam tadi, bermakna lengkaplah 5 minggu KITAB Fasa 1. Pada semester hadapan, Insya-Allah, KITAB Fasa 2 akan dimulakan. Pada semester hadapan akan menyaksikan beberapa elemen baru yang lebih hebat. Juga lebih ramai Ketua-ketua Unit akan dicari. Jika dahulu, AJK-AJK cuma terhadap kepada mahasiswa Fakulti Pendidikan, pada semester akan datang, tidak lagi. Mahasiswa dan mahasiswi dari serata Universiti Teknologi Malaysia akan dijemput untuk menjayakan Program KITAB Fasa 2. Program KITAB dijangka bermula sekitar bulan Julai 2007.

Apa pun, ribuan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam program ini, iaitu kepada para penggerak Program KITAB, tutor, tutee dan ibu bapa tutee untuk program ini...


Nota Tambahan:

Nota tambahan ini dibuat pada 6 April 2007, bertujuan membela para MT dan AJK yang telah disalah tanggap oleh orang lain (bukan MT dan AJK). Mereka ada melakukan kerja di sebalik tabir kerana sememangnya tugas mereka bukan untuk dilihat orang lain. Tuhan adalah sebaik-baik saksi.

Catatan di bawah ini bertujuan untuk membela semua MT dan AJK KITAB yang berjuang secara di belakang tabir semasa Program KITAB berlangsung, sebelum dan selepas Program KITAB berlangsung. Nama-nama orang yang berjasa di belakang tabir tidak akan disebut, sebab biarlah Tuhan yang menentukan haknya, namun kesedaran perlu diluahkan menerusi nota tambahan ini, untuk memaklumkan kepada orang ramai, sebenarnya ada orang yang menitiskan peluh dan mengalirkan tenaga untuk memastikan KITAB berjaya di belakang tabir.

Sebelum itu perlu diingat. Semasa menjayakan program KITAB, ada perkara yang berlaku sebelum, semasa dan selepas program. Mungkin ada di antara tutor atau orang luar hairan apabila melihat ada sesetengah AJK kelihatan rehat semasa kelas tutor berlangsung, itu bukan bermaksud mereka rehat sepanjang masa. Salah! Ada antara AJK dan MT KITAB yang berjuang sebelum kelas bermula, oleh itu semasa program bermula, tibalah giliran mereka untuk berehat dan biar AJK atau MT KITAB yang lain pula beraksi.

Ingat, dalam apa-apa program, ada penggerak yang bertungkus lumus di belakang tabir dan ada yang WAJIB beraksi di depan mata orang ramai. Mereka kelihatan santai di depan mata tutor dan tutee, sempat menjadi tutor, tetapi titik peluh mereka untuk menjayakan KITAB di luar pandangan mata, siapa yang tahu? Mereka ada melakukan sesuatu, ada yang membuat kerja-kerja tersebut secara diam-diam tanpa pengetahuan mana-mana tutor atau AJK yang lain. Sebab, dalam fikiran dan hati mereka cuma satu, biarlah tidak popular, asalkan matlamat tercapai.

Biarlah walau pun memegang jawatan tertinggi atau terendah di dalam Program KITAB, tetapi kelihatan tidak menonjol semasa kelas berlangsung, namun sememangnya mereka ada membuat sesuatu, malah kadangkala terpaksa mengabaikan makan minum, hujan panas dan waktu tidur untuk berfikir dan mengerakkan tulang empat kerat mereka. Mereka tetap rasa gembira, apabila semasa kelas berlangsung, mereka dapat rehat seketika, untuk mendidik tutee dengan santai. Sebab mereka sudah pun laksanakan tanggungjawab mereka sebelum ini. Biarlah tidak kelihatan menonjol, yang penting matlamat tercapai!

Anda mungkin lihat mereka kelihatan tidak menonjol semasa kelas tutor berlangsung pada malam itu, tetapi mereka ada berbuat sesuatu yang penting dan itu adalah urusan mereka dengan Tuhan mereka. Jangan salah tanggap atau cepat menghukum mereka.

Jangan terjadi seperti kisah Pencipta Jalur Gemilang, jasa dan sumbangannya ditutup, padahal dialah orang yang berbakti, sehingga lebih 48 tahun, barulah terbongkar.

Tuhan Maha Mengetahui...


Ya, Tuhan kami, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui apa yang kami lakukan dan niatkan di dalam hati kami, bersihkan hati kami sentiasa dari sifat riak, takbur, tamak dan ego. Redhai dan berkatilah usaha kami, para penggerak KITAB selama ini...

Jauhilah kami dari sebarang kezaliman dan penganiayaan. Lindungilah kami, berkatilah kami, restuilah usaha kami. Berikan kejayaan kepada kami di dunia dan di akhirat.

Amin.