Friday, January 26, 2007

Soal Jawab Mengenai Tugas Tutor KITAB

SOALAN 1:
Apakah tugas-tugas tutor? Adakah tutor perlu mengajar seperti guru-guru di sekolah?

JAWAPAN 1:
Tidak. Tutor hanya perlu membimbing anak didik mereka melakukan kerja rumah, menyemak jawapan latihan dan latihan-latihan yang telah diberikan oleh guru-guru di sekolah.


SOALAN 2:
Adakah tutor wajib hadir setiap minggu? Bagaimana jika tutor tersebut tidak dapat hadir setiap minggu?

JAWAPAN 2:
Program KITAB mempunyai sistem penyelarasan tutor-anak didik yang fleksibel. Sekiranya tutor tersebut tidak dapat hadir pada sesi yang akan datang, penyelaras tutor akan menggantikan tempat tutor tersebut pada sesi akan datang dengan tutor yang lain.


SOALAN 3:
Berapa ramaikah anak didik yang perlu dikendalikan oleh seorang tutor? Adakah anak didik yang sama setiap minggu?

JAWAPAN 3:
Maksimum tiga orang. Biasanya satu atau dua orang. Setiap tutor tidak semestinya akan mendapat anak didik yang sama setiap minggu. Mungkin pada minggu 1, dia mengendalikan pelajar sekolah rendah, dan mungkin pada minggu 2, dia akan mengendalikan pelajar sekolah menengah.


SOALAN 4:
Adakah tutor akan diberikan apa-apa bayaran?

JAWAPAN 4:
Rasanya tidak, sebab nama program ini pun Khidmat Tutor Percuma. Ini untuk memastikan objektif dan matlamat program KITAB ini diadakan tercapai.


SOALAN 5:
Adakah program KITAB akan diadakan setiap minggu sepanjang tahun? Bagaimana pula pada minggu ulangkaji dan minggu peperiksaan?

JAWAPAN 5:
Program KITAB hanya akan diadakan pada minggu-minggu kuliah. Apabila tiba minggu ulangkaji dan minggu peperiksaan, program KITAB akan ditangguhkan sehingga pada semester akan datang.


SOALAN 6:
Bagaimana jika saya ingin merasai menjadi tutor, sekali sahaja dalam sebulan atau satu semester? Apa yang perlu saya lakukan?

JAWAPAN 6:
Anda perlu memaklumkan kepada Penyelaras Tutor dan Penyelaras Tutor akan cuba mengaturkannya kepada anda mengikut kekosongan dan keperluan. Sistem yang digunakan dalam KITAB adalah sangat fleksibel. Semua mahasiswa berhak merasai pengalaman ini dengan syarat mesti mematuhi kod-kod etika tutor KITAB.


SOALAN 7:
Bagaimana jika pada hari yang ditetapkan, saya tidak dapat hadir menjadi tutor atas sebab-sebab yang sangat penting? Apa akan berlaku kepada anak didik yang sepatutnya di bawah bimbingan saya?

JAWAPAN 7:
Kami akan aturkan anak didik anda kepada tutor yang sedia ada. Sebab itu kami akan cuba beri satu atau dua sahaja anak didik kepada setiap tutor. Ini sebagai langkah berjaga-jaga jika berlakunya krisis seperti yang anda nyatakan tadi.


SOALAN 8:
Bagaimana jika terlalu ramai tutor tidak dapat hadir pada satu-satu minggu?

JAWAPAN 8:
Unit informasi dan publisiti kami akan cuba mencari tutor-tutor sementara atau bilangan tutor pada minggu itu akan dikurangkan. Kami akan utamakan anak-anak didik yang diletakkan dalam status kritikal sahaja iaitu pelajar UPSR, PMR dan SPM untuk minggu tersebut. Sekiranya tidak ada tutor yang mencukupi, kelas pada minggu itu akan dibatalkan.


SOALAN 9:
Sekiranya kelas tutor pada minggu itu dibatalkan, adakah akan ada kelas gantian?

JAWAPAN 9:
Tidak. Inilah kelebihan kelas tutor percuma. Ianya tidak membebankan mahasiswa dengan kelas gantian kerana tutor tidak terikat dengan tanggungjawab wang.


SOALAN 10:
Apakah syarat-syarat dan kod-kod etika yang perlu saya patuhi untuk menjadi seorang tutor KITAB? Apa persediaan yang perlu saya lakukan bagi menghadiri setiap kelas?

JAWAPAN 10:
Pastikan anda memakai pakaian yang sopan. Bagi lelaki, pastikan anda berambut pendek dan kemas, tidak mewarnakan rambut, tidak bersubang, tidak menyerupai wanita dan merupakan mahasiswa UTM. Ini kerana kita membawa imej mahasiswa UTM, juga kita adalah contoh dan teladan kepada anak didik kita. Pastikan anda membawa peralatan persediaan seperti alat tulis, buku dan kertas. Pihak kami juga akan cuba mendapatkan peralatan ini untuk kemudahan semua.


SOALAN 11:
Apakah yang perlu anak didik bawa untuk ke kelas tutor? Apakah subjek yang boleh tutor berikan bimbingan.

JAWAPAN 11:
Alat tulis, buku teks, buku latihan, buku rujukan dan baju sejuk (sekiranya tapak program ada penghawa dingin). Tutor boleh berikan bimbingan untuk semua subjek, namun keutamaan diberikan untuk subjek Matematik.

Dapatkan Panduan Tutor KITAB di sini.

NOTA: Sekiranya para pengunjung laman web/pembaca ada apa-apa soalan yang tidak difahami, boleh klik pada perkataan comment dan tuliskan soalan anda dalam ruangan yang disediakan. Pihak kami akan cuba menjawab soalan-soalan anda.

Panduan Tutor KITAB 4: Anak Didik

PERSEDIAAN ANAK DIDIK

  1. Membawa buku latihan sekolah untuk memudahkan tutor menyemak dan mengetahui tahap kefahaman anak didik.
  2. Buku teks dan buku rujukan untuk memudahkan bimbingan terhadap subjek yang dibincangkan.
  3. Alat tulis
  4. Baju sejuk (sekiranya kelas kuliah berpenghawa dingin).

KESELAMATAN ANAK DIDIK SELEPAS TAMAT SESI TUTOR
  1. Pastikan tidak ada barang-barang peserta yang tertinggal selepas tamat sesi tutorial.
  2. Tutor diminta untuk membawa anak-anak didik ke tempat yang dikhaskan untuk menunggu ibu bapa/penjaga mereka datang menjemput mereka pulang.
  3. Pastikan ada tutor yang mengawasi anak didik semasa mereka sedang menunggu ibu bapa/penjaga mereka.

Panduan ini ditulis oleh Mohd Amien Mohd Yasin, untuk rujukan dan kegunaan para tutor KITAB sahaja. Para tutor KITAB boleh menyalin kesemua panduan dalam blog ini untuk rujukan semasa. Segala panduan di dalam blog ini tidak boleh diterbitkan semula oleh mana-mana pihak untuk tujuan komersil atau bersifat keuntungan.

http://kitabutm.blogspot.com

Panduan Tutor KITAB 3: Sistem Penyelarasan Tutor

SISTEM PENYELARASAN TUTOR

  1. Setiap tutor akan diberikan 1-2 anak didik pada setiap sesi tutorial. Bilangan maksimum adalah 3 orang.
  2. Bilangan maksimum akan diberikan apabila berlaku kekurangan tutor.
  3. Setiap tutor tidak semestinya akan berdepan dengan anak didik yang sama setiap minggu.
  4. Setiap tutor akan diberikan anak didik yang sama darjah atau tingkatan.
  5. Bagi anak didik yang berstatus kritikal (Darjah 6, Tingkatan 3 dan 5), cara pengagihannya ialah seorang tutor mendapat seorang anak didik.

KEKURANGAN TUTOR – TUTOR TIDAK DAPAT HADIR
  1. Sekiranya anda ada masalah untuk hadir pada sesi tutorial akan datang, sila maklumkan kepada Penyelaras Tutor selewat-lewatnya sehari sebelum kelas tutorial berlangsung.
  2. Sekiranya tutor tidak dapat hadir secara mengejut, anak didik akan diberikan kepada tutor yang hadir.
  3. Sekiranya bilangan tutor terlalu kurang. Ibu bapa akan dimaklumkan mengenai hal ini, dan kelas mungkin akan diadakan dengan bilangan anak didik/tutor yang terhad atau kelas untuk minggu itu dibatalkan.
  4. Walau bagaimana pun, keutamaan untuk mengadakan kelas pada minggu tersebut akan diberikan kepada anak didik yang berstatus kritikal iaitu pelajar UPSR, PMR dan SPM.


TUTOR TAMBAHAN/BERLEBIHAN TUTOR
  1. Adakalanya anak didik tidak dapat hadir pada satu-satu ketika, menyebabkn wujudnya tutor berlebihan bagi satu-satu sesi.
  2. Apabila ini berlaku, tutor ini boleh diserapkan ke mana-mana tutor yang memerlukan bantuan. Bilangan anak didik yang perlu dikendalikan oleh setiap tutor akan dikurangkan.

Panduan ini ditulis oleh Mohd Amien Mohd Yasin, untuk rujukan dan kegunaan para tutor KITAB sahaja. Para tutor KITAB boleh menyalin kesemua panduan dalam blog ini untuk rujukan semasa. Segala panduan di dalam blog ini tidak boleh diterbitkan semula oleh mana-mana pihak untuk tujuan komersil atau bersifat keuntungan.

http://kitabutm.blogspot.com

Panduan Tutor KITAB 2: Kaedah Bimbingan

PERSEDIAAN TUTOR & ANAK DIDIK

  1. Pastikan tutor membawa alat tulis sendiri dan apa-apa yang dirasakan perlu untuk sesi tutorial.
  2. Kertas-kertas terpakai yang masih ada banyak ruang kosong untuk mengadakan latihan.

APA YANG TUTOR PERLU DAN BOLEH LAKUKAN SEMASA SESI KELAS TUTOR BERLANGSUNG?
Mungkin ada di kalangan mahasiswa belum pernah menjadi tutor, atau mengendalikan anak-anak sebelum ini. Maka di sini dikongsi sedikit panduan asas yang boleh diikuti sepanjang sesi bimbingan. Elakkan respon negatif seperti berleter, menyindir dan berkelakuan kasar terhadap anak didik.


SESI BERKENALAN
  1. Mulakan sesi dengan senyuman. Ini boleh mengurangkan rasa gugup dan gementar semasa mengendalikan anak-anak didik.
  2. Bertanya khabar, boleh juga bertanya nama anak didik, ibu bapa, bilangan adik beradik, kawan rapat, sekolah dan sebagainya.
  3. Perkenalkan diri.

MEMBIMBING ANAK DIDIK MEMBUAT KERJA RUMAH

  1. Sebelum memulakan bimbingan, tanya anak didik sekiranya ada kerja rumah yang tidak disiapkan atau perlu dihantar pada esok hari. Jika ada, utamakan kerja-kerja rumah itu dahulu.
  2. Jika anda melakukan aktiviti ini, tanya anak didik apa yang guru di sekolah arahkan, apa yang guru mahukan dan apa yang telah diajar di sekolah berkaitan dengan kerja rumah tersebut.


LATIHAN PENGUKUHAN BERSAMA ANAK DIDIK

  1. Minta buku latihan sekolah kepunyaan anak didik. Teliti hasil-hasil latihan yang telah dibuat oleh anak didik sebelum ini. Cuba selidik kelemahan dan kelebihan yang ada. Beri pujian bagi hasil kerja yang baik, yang disiapkan dan tulisan yang kemas.
  2. Perhatikan apa kesalahan/kesilapan yang telah dilakukan oleh anak murid dalam latihan. Boleh jadi inilah yang perlu tutor perbetulkan.
  3. Buka buku teks. Tanya anak didik, setakat mana dia telah belajar, topik apa dan apa yang tidak difahaminya. Jika anak murid ragu-ragu, maka berdasarkan buku latihannya, adakan latihan pengukuhan.
  4. Cara untuk mengadakan latihan pengukuhan adalah sama ada dengan meminta anak didik mengulangi soalan yang pernah dibuat sebelum ini, atau member anak didik soalan-soalan yang baru. Mulakan dengan soalan-soalan yang senang dan lihat pencapaian anak didik.


TUNJUK AJAR UNTUK TOPIK-TOPIK YANG TIDAK DIFAHAMI OLEH ANAK DIDIK

Mungkin ada topik yang telah diajar di sekolah, tetapi tidak difahami oleh anak didik. Apabila anak didik bertanyakan hal sebegini, maka tindakan yang tutor boleh lakukan ialah:
  1. Minta anak didik ceritakan bagaimana guru mengajar topik tersebut di sekolah.
  2. Apa istilah, konsep yang disebutkan oleh guru tetapi tidak difahami oleh anak didik tersebut.
  3. Tutor harus member penerangan berkaitan dengan istilah dan konsep tersebut. Rujuk buku teks atau buku rujukan.
  4. Adakan latihan untuk mengukuhkan kefahaman.
  5. Selepas beberapa kali membuat latihan, minta anak didik cuba terangkan bagaimana dia melakukan latihan tersebut.


TUNJUK AJAR TOPIK BARU

Mungkin anak didik anda berminat untuk mempelajari topik-topik yang belum dipelajari. Dalam hal ini anda perlu pastikan anda tahu apa yan perlu diajar. Sekiranya anda ada apa-apa masalah, rasa tidak berkemampuan untuk mengajar, segera maklumkan kepada Penyelaras Tutor. Mengajar topik baru yang belum diajar oleh guru sekolah anak didik tersebut adalah di luar skop tugas tutor. Walau bagaimana seseorang tutor itu boleh melakukannya jika dia mempunyai keyakinan untuk bertindak sedemikian. Pastikan anda memiliki buku-buku rujukan untuk memudahkan pengajaran.



APA YANG TUTOR TIDAK BOLEH BUAT?
  1. Tidak melakukan gangguan atau kekasaran sama ada secara fizikal atau emosi terhadap anak didik seperti mencubit, menghina kebolehan anak didik, menyindir, berleter dan sebagainya.
  2. Bergurau senda yang keterlaluan semasa sesi tutor berlangsung.
  3. Membiarkan anak didik membuat bising, bermain, berborak-borak kosong, mengacau anak didik yang lain atau melakukan aktiviti selain aktiviti tutor.
  4. Pilih kasih. Jangan membeza-bezakan tanggungjawab dan perhatian antara anak didik di bawah bimbingan anda. Anda harus menerima dan membimbing dengan ikhlas mana-mana anak didik yang diamanahkan kepada anda.
  5. Berlagak. Bangga diri atau menunjuk-nunjuk kebolehan sendiri. Tumpukan kepada proses bimbingan, bukan persembahan kehebatan tutor dalam subjek tersebut.

APA YANG TUTOR BOLEH LAKUKAN ATAU SELITKAN DALAM SESI TUTORIAL?
  1. Memberi motivasi, pendedahan berkaitan dengan dunia mahasiswa. Apa yang seronoknya masuk ke universiti, bagaimana dapat masuk ke universiti.
  2. Mencerita pengalaman-pengalaman lalu yang ada kaitan dengan pembelajaran.
  3. Berkongsi tips dan kaedah belajar yang berkesan seperti peta minda, cara mencatat nota dan cara belajar di universiti.


Panduan ini ditulis oleh Mohd Amien Mohd Yasin, untuk rujukan dan kegunaan para tutor KITAB sahaja. Para tutor KITAB boleh menyalin kesemua panduan dalam blog ini untuk rujukan semasa. Segala panduan di dalam blog ini tidak boleh diterbitkan semula oleh mana-mana pihak untuk tujuan komersil atau bersifat keuntungan.

http://kitabutm.blogspot.com

Panduan Tutor KITAB 1: Adab dan Etika Sebagai Seorang Tutor

ADAB DAN ETIKA SEBAGAI TUTOR KITAB

Bagi memastikan objektif dan matlamat tersebut tercapai., beberapa syarat atau kod etika telah digariskan dan WAJIB dipatuhi oleh setiap mahasiswa yang menjadi tutor KITAB. Untuk menjadi tutor KITAB, setiap mahasiswa bukan sahaja perlu ikhlas dan jujur dalam menjalankan tugas-tugas kebajikan, tetapi juga diwajibkan mematuhi beberapa syarat berikut. Ini kerana mahasiswa yang menjadi tutor boleh dianggap sebagai insan contoh kepada anak-anak Desa Bakti. Antara perkara-perkara yang perlu diberi perhatian oleh semua tutor KITAB ialah:

  1. Berambut pendek bagi lelaki.
  2. Tidak mewarnakan rambut.
  3. Tidak bertindik, bersubang atau bertatu(bagi lelaki).
  4. Memakai pakaian yang sopan dan bersesuaian semasa menghadiri kelas tutorial.
  5. Ikhlas mengajar dan mampu memberi komitmen sepanjang kelas tutorial berlangsung.
  6. Mengisi ruang masa yang disediakan dengan aktiviti yang berkaitan dengan matlamat program.
  7. Menjaga adab percakapan dan budi bahasa semasa bercakap tidak kira sesama tutor atau dengan anak didik.
  8. Dari segi pemakaian atau kelakuan,tutor lelaki tidak boleh menyerupai wanita, begitu juga tutor wanita tidak boleh menyerupai lelaki.

Panduan ini ditulis oleh Mohd Amien Mohd Yasin, untuk rujukan dan kegunaan para tutor KITAB sahaja. Para tutor KITAB boleh menyalin kesemua panduan dalam blog ini untuk rujukan semasa. Segala panduan di dalam blog ini tidak boleh diterbitkan semula oleh mana-mana pihak untuk tujuan komersil atau bersifat keuntungan.

http://kitabutm.blogspot.com

Matlamat dan Objektif Penubuhan KITAB

Bentuk Program:
Kelas bimbingan

Matlamat Program:
Membentuk keperibadian mahasiswa sebagai pemimpin pendidik yang prihatin dan dapat memberi sumbangan bakti secara ikhlas dan berkualiti kepada masyakarat di sekitarnya.

Objektif:

  • Melahirkan golongan mahasiswa yang jujur, ikhlas dan rajin dalam melaksanakan tugas-tugas kebajikan.

  • Meningkatkan kemahiran bekerja dalam organisasi di kalangan mahasiswa.

  • Meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah di kalangan mahasiswa dalam kerja-kerja yang melibatkan pengurusan sumber manusia dalam situasi sebenar.

  • Meningkatkan motivasi belajar di kalangan anak-anak Desa Bakti.

  • Menambah kemahiran berkaitan dengan teknik belajar di kalangan anak-anak Desa Bakti.

  • Memupuk sifat hormat-menghormati dan berbudi bahasa di kalangan mahasiswa dan juga di kalangan anak-anak Desa Bakti.

  • Meningkatkan keyakinan diri dan seterusnya belajar menghargai diri sendiri di kalangan mahasiswa.

  • Mengeratkan hubungan dan menjalin kesefahaman antara mahasiswa UTM dengan warga Desa Bakti.

Pengenalan: Program Khidmat Tutor Percuma Untuk Anak-anak Desa Bakti

Nama Program:
Program Khidmat Tutor Percuma untuk Anak-anak Desa Bakti

Nama Singkatan:
KITAB


Penasihat Program:
En. Hassan bin Hushin (Penasihat PMP)


Pengasas/Pengarah Program:
En. Mohd Amien Mohd Yasin


Anjuran:
Persatuan Mahasiswa Pendidikan (PMP),
Fakulti Pendidikan UTM


Pengenalan:

Program KITAB adalah akronim bagi Program Khidmat Tutor Percuma untuk Anak-anak Desa Bakti. Program ini diasaskan oleh En. Mohd Amien bin Mohd Yasin, pelajar Fakulti Pendidikan dan dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Pendidikan (PMP), Fakulti Pendidikan, UTM Skudai.

Perancangan untuk program bermula pada akhir bulan Januari 2007 dan akan berlangsung sekali setiap minggu sehingga sebelum minggu ulangkaji mata pelajaran. Program KITAB menggunakan sistem penyelarasan jadual tutor bertugas yang fleksibel supaya tidak membebankan jadual harian tutor. Besar harapan agar program KITAB ini dijadikan program tahunan.

Penyertaannya terbuka kepada semua mahasiswa UTM yang berminat untuk menjalankan kerja-kerja kebajikan secara sukarela. Program ini diharap dapat membentuk budaya intelektual, memperbaiki tahap keyakinan diri, memupuk keperibadian mulia, menonjolkan sifat prihatin, meningkatkan daya kepimpinan yang bertanggungjawab dan sifat penyayang di kalangan mahasiswa UTM selain dapat mengeratkan lagi hubungan dua hala antara golongan mahasiswa dengan staf-staf UTM Skudai. Program ini juga dapat mengurangkan tekanan belajar di samping meningkatkan motivasi belajar di kalangan anak-anak Desa Bakti.

Memandangkan program ini buat kali pertama dijalankan oleh PMP dan barangkali yang pertama kali pernah diwujudkan seumpamanya dalam sejarah UTM, maka untuk Semester 2, Sesi 2006/2007 ini, program KITAB ini boleh dianggap sebagai semester percubaan atau eksperimental.

Thursday, January 25, 2007

Panduan Video

Sekiranya ada video yang hendak dimasukkan ke dalam weblog KITAB, gunakan Youtube.com. Pastikan anda memiliki akaun Youtube. Kemudian 'upload' video tersebut ke dalam akaun Youtube anda. Selepas itu, salin kod (embed code) video tersebut (yang diperolehi menerusi Youtube) ke sini.

Sebelum itu, pastikan anda adalah salah seorang daripada penulis yang dijemput/dilantik untuk menulis dalam blog ini. Cuma penulis yang dijemput/dilantik sahaja yang dapat memasukkan video menerusi fungsi 'posting' dan 'edit html'.

Sekian terima kasih.

Seorang Ibu Mengajar Anaknya Membaca



Video ini adalah contoh sahaja. Anda tidak boleh memakai pakaian seperti ini semasa di kelas bimbingan. Pastikan anda menutup aurat (bagi yang beragama Islam). Tutor KITAB tidak mengajar di rumah warga Desa Bakti, tetapi di Bilik Seminar, C15, Aras 2, Fakulti Pendidikan.