Monday, March 5, 2007

Berita KITAB: Taklimat Tutor Berjalan Lancar

BERITA 1: TAKLIMAT TUTOR BERJALAN LANCAR DAN TURUT MENDAPAT PENYERTAAN PELAJAR DARI FAKULTI LAIN.

ISNIN, 5 MAC 2007, FAKULTI PENDIDIKAN:
Walaupun jadual kuliah pada hari ini agak padat bagi kebanyakan pelajar, namun sekitar 25 orang pelajar berjiwa pendidik berjaya meluangkan masa untuk sesi taklimat ringkas. Tutor-tutor yang hadir adalah berbilang kaum. Selain itu, terdapat juga beberapa pelajar dari fakulti lain yang turut hadir mendengar taklimat untuk menjadi tutor.

Beberapa orang pelajar yang tidak dapat hadir turut menghantar SMS yang mengandungi butir-butir maklumat diri untuk diisi di dalam borang tutor.


(Komen pemberita: Rata-rata pelajar ialah siswi, tahniah buat siswi. Anda memang berjiwa pendidik. Kaum siswa, jangan mengalah! Kita lawan balik!)

Ehem. Kita kembali ke laporan berita. Taklimat ringkas ini disampaikan oleh Melissa (Timbalan Pengarah Operasi KITAB/Presiden PMP), manakala persediaan persembahan Power Point oleh Amien (Pengarah KITAB). Turut hadir membantu dalam persiapan dan memastikan kelancaran taklimat ialah Setiausaha KITAB, Aemyliza, Ketua Unit Penyelaras Tutor, Farahwahida, Ketua Unit Kebajikan & Pengangkutan, Dayana, Ketua Unit Perhubungan, Dzulfadli, Ketua Unit Publisiti dan Tajaan, Chu Wai Seng dan beberapa orang sukarelawan. Persiapan tempat sebelum ini telah dilaksanakan oleh Shamilatul, Ketua Unit Persiapan Tempat.

Semasa sesi soal jawab, antara perkara yang ditanya ialah berkaitan pengangkutan, pakaian dan sijil Untuk makluman semua, pada hari Khamis atau Rabu, akan ada bas yang melalui Fakulti Pendidikan sekitar jam 10.30 malam dan 11.00 malam. Oleh itu para tutor tidak perlu risau mengenai pengangkutan untuk pulang ke kolej masing-masing.

Dari aspek pakaian pula, tutor tidak dibenarkan memakai pakaian yang tidak menutup aurat atau ketat. Siswi boleh memakai seluar asalkan seluar tersebut longgar (tidak ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh).

Sijil penyertaan buat masa ini akan diberikan kepada tutor yang hadir 80% atau 4 kali daripada 5 pertemuan (kelas bimbingan). Namun begitu, memandangkan ada tutor yang ingin hadir setiap minggu tetapi terdapat kongkongan dari segi jadual kuliah/kuiz atau ujian, pihak jawatankuasa KITAB akan membawa perkara ini ke perbincangan selanjutnya mengenai pembahagian sijil untuk tutor yang hadir sekurang-kurangnya 3 kali pertemuan.

Penyertaan masih dibuka, pelajar yang ingin menjadi tutor boleh mendapatkan borang tutor dengan saudari Farahwahida (Penyelaras Tutor). Kita memerlukan ramai lagi tutor, ini kerana akan ada peningkatan dari segi bilangan tutee di Desa Bakti.

Apa pun, syabas buat semua jawatankuasa KITAB dan pelajar-pelajar yang hadir.



BERITA 2: DAYANA BERJAYA DAPATKAN PENAJA MINUMAN UNTUK PROGRAM KITAB

AHAD, 4 MAC 2007, KOLEJ RAHMAN PUTRA:
Berita yang menggembirakan buat semua tutor dan tutee KITAB. Dayana telah berjaya mendapatkan tajaan air minuman daripada Kak Ana (Warisan Anjung Cafe) yang beroperasi di kafe Rahman Putra.

Oleh itu, para tutor semua tidak perlu lagi risau akan kehilangan suara. Oh, sebenarnya tidak perlu kehilangan suara, kerana tutor tidak perlu menjerit-jerit di dalam kelas atau mengajar seperti guru. Seorang atau dua orang tutee, duduk semeja, jika berbisik pun boleh.

Apa pun dengan adanya tajaan ini, semangat para tutor dan tutee akan dapat ditingkatkan lagi.

Sekian berita hari ini.