Friday, March 9, 2007

BERITA: KELAS PERTAMA KITAB YANG PENUH CABARAN

KHAMIS, 8 MAC 2007, FAKULTI PENDIDIKAN: Sukacita dimaklumkan, kelas tutor percuma untuk anak-anak Desa Bakti di bawah Program KITAB telah berjaya dilangsungkan malam tadi. Syabas kepada semua tutor dan jawatankuasa yang telah meluangkan waktu, program KITAB tidak akan berjaya tanpa penglibatan anda semua.

Debaran para peserta mula dapat dirasai apabila para tutee dan ibu bapa membanjiri persekitaran fakulti. Ini adalah pengalaman, juga cabaran yang perlu dihadapi oleh semua ahli jawatankuasa. Walaupun timbul pelbagai cabaran dan rintangan, matlamat program tetap berjaya dicapai. Tahniah kepada semua ahli jawatankuasa KITAB.

Pada malam ini, para jawatankuasa telah belajar banyak perkara, dan apa pun yang berlaku pada malam ini sememangnya telah dijangka. Satu sesi post-mortem telah diadakan selepas program bertujuan untuk mengkaji semula permasalahan yang timbul semasa program dan langkah-langkah mengatasinya.

Memandangkan keadaan kesihatan Pengarah Program masih belum mengizinkan, perbincangan dalam post mortem pada malam itu banyak dibantu oleh Timbalan Pengarah Strategik, Siti Salehah. Pelbagai cadangan dan idea baru telah diberikan oleh ahli-ahli jawatankuasa dan para tutor membuktikan kesungguhan semua hadirin pada sesi post-mortem, malam tersebut.

Kelas kedua akan bermula pada Hari Rabu, 8.30 malam di C15 dan C13 dengan pertambahan beberapa bilik baru untuk keselesaan tutor dan tutee. Bilik kuliah perlu ditambah memandangkan sambutan yang sangat menggalakkan daripada para peserta.

Walaupun Program KITAB masih dalam peringkat percubaan, beberapa objektif asas telah berjaya dicapai pada malam tadi:

1. Setiap Tutor dapat membimbing tutee berdasarkan subjek pilihan tutee.
Nota: Satu lagi kredit untuk semua AJK. Juga terima kasih kepada saudara Fazli tahun 3 SPM, dan rakan-rakannya yang bersedia menjadi sukarelawan membantu dari aspek penyelarasan tutor bagi kumpulan tutee kritikal (UPSR, PMR dan SPM).

2. Tutee bermotivasi untuk belajar bersama tutee.
Nota: Ada tutee dan tutor yang mahu masa kelas tutor ditambah lagi, tidak mahu berhenti belajar walaupun masa sudah tamat.

3. Tutee datang dan pulang dengan selamat.
Nota: Ibu bapa berjaya menjemput anak-anak masing-masing. Terima kasih kepada semua ibu bapa yang memberi komitmen sepanjang program ini berlangsung.

4. Tempat belajar tutee mencukupi.
Nota: Tutee-tutee berjaya ditempatkan di kelas masing-masing dengan kemudahan meja dan kerusi yang mencukupi.

5. Tutor dapat membimbing tutee berdasarkan subjek kemahiran tutor.
Nota: Ini merupakan cabaran buat semua penyelaras tutor, namun nampaknya masalah ini berjaya diatasi walaupun keadaan yang sungguh mendebarkan tercetus apabila para tutee mula membanjiri fakulti.


Bonus-bonus yang dicapai pada malam itu:

1. Kaedah baru untuk sistem penyelarasan, keselamatan dan penempatan tutor dan tutee.
Nota: Berdasarkan pemerhatian dari segi kelancaran program pada malam itu, beberapa idea dan cadangan baru telah dikemukakan untuk memantapkan lagi program KITAB pada masa akan datang.

2. Air minuman disediakan.
Nota: Pada asalnya penyediaan makan minum bukan rancangan wajib. Namun, air minuman merupakan perkara penting untuk mengembalikan kesegaran. Tajaan Kak Ana dari Warisan Tunjang.

3. Rakaman foto kenang-kenangan program.
Nota: Unit Publisiti, Chu Wai Seng berjaya merakamkan gambar sepanjang aktiviti program.

4. Nisbah tutor-tutee program berada di tahap memberangsangkan!
Nota: Tahniah kepada semua ahli jawatankuasa KITAB! Tahniah kepada semua tutor! Tahniah kepada semua tutee! Tahniah kepada semua ibu bapa warga Desa Bakti!


Nota Pengarah KITAB: Bagaimana para tutor sekalian? Program KITAB masih dalam fasa pertama (eksperimental). Malam tadi (8 Mac 2007), kita semua telah menjalankan satu eksperimen, menguji idea dan cadangan yang telah dibincangkan dan melihat sendiri bagaimana hasilnya. Ini adalah satu bentuk pembelajaran. Kita belajar, kita mengkaji dan kemudian mencipta sesuatu yang lebih baik. Jangan rasa rendah diri atau kecewa kalau pada malam tadi, ada di kalangan kita tidak dapat memberikan persembahan yang baik, atau tidak dapat membimbing dengan baik, itu semua adalah lumrah dunia pembelajaran. Tidak ada manusia yang benar-benar sempurna, namun itu bukan halangan untuk kita berjuang. Mahasiswa sekalian, ini adalah perjuangan kita. Adat resam berjuang, pasti ada kejayaan dan kegagalan. Namun malam tadi matlamat program berjaya dicapai. Tahniah semua. Kita jumpa lagi dalam kelas kedua!