Thursday, March 29, 2007

KITAB: Gambar foto sepanjang program kini dalam proses!

RABU, 28 MAC 2007, FAKULTI PENDIDIKAN: Malam tadi menyaksikan suasana yang agak mencabar buat para ahli jawatankuasa KITAB. Memandangkan pertembungan tarikh ujian untuk subjek akademik, juga ketiadaan para penyelaras tutor rasmi kerana menghadiri ujian akademik, tugas-tugas menyelaras dilaksanakan oleh ahli jawatan kuasa yang lain.

Pun begitu, jiwa guru yang tercetus di dalam diri para AJK KITAB berjaya mengubah suasana dengan baik. Secara tenang dan stabil, tugas-tugas penyelarasan tutor berjaya dilaksanakan dengan cukup baik.

Sementara itu, gambar-gambar foto untuk kelas KITAB pertama dan ketiga kini dalam proses untuk dimasukkan ke bahagian Galeri Foto KITAB. Gambar-gambar ini dirakamkan oleh Ketua Unit Publisiti, iaitu saudara Chu Wai Seng. Para AJK, Tutor dan Tutee KITAB boleh memuat turun gambar-gambar tersebut di ruangan tersebut. Klik di sini.

Berikut adalah jentera-jentera pengerak utama KITAB yang sempat dirakamkan.

Encik Hassan Hushin: Penasihat PMP
merangkap Penasihat Program KITAB,

tersenyum memerhati seorang tutor sedang tekun membimbing anak didik. Beliau merupakan seorang pensyarah di Fakulti Pendidikan, mempunyai visi dan pengalaman yang sangat luas dalam mengendalikan Persatuan Mahasiswa Pendidikan. En. Hassan Hushin yang penyayang, prihatin dan bertanggungjawab merupakan seorang tokoh pendidik yang dihormati dan wajar dicontohi oleh para mahasiswa pendidikan. Encik Hassan banyak membantu dari segi memberi sokongan moral, kaunseling, dan menyumbang tenaga dan pengangkutan. Beliau hadir dalam kebanyakan aktiviti Program KITAB untuk membantu meringankan beban dan memberi semangat kepada para AJK dan Tutor KITAB.



Cikgu Amien: Pengasas KITAB merangkap
Pengarah Program KITAB Fasa 1.
Tutee Haziq sedang meminjam pemadam daripada kawannya. Berdasarkan kejayaan program KITAB setakat ini, Cikgu Amien memutuskan untuk terus mengekalkan Persatuan Mahasiswa Pendidikan sebagai penganjur program KITAB. KITAB merupakan hasil rumusan beliau untuk para mahasiswa pendidikan, berdasarkan gagasan yang diilhamkannya pada 7 tahun yang lalu. Beliau telah mencipta sistem penyelarasan tutor yang fleksibel agar program KITAB mampu dilaksanakan dalam apa jua keadaan dan mencapai matlamatnya. Cikgu Amien berhasrat agar Program KITAB dijadikan program mingguan setiap semester, setiap tahun supaya dapat membantu dalam membentuk keperibadian sebagai seorang pendidik di kalangan generasi baru mahasiswa pendidikan. Sebagai Pengasas KITAB pula, Cikgu Amien memberi banyak tumpuan dalam aspek-aspek pengaplikasian konsep, sistem Tutor KITAB dan tunjuk ajar secara peribadi kepada para AJK secara di belakang tabir dalam pelbagai bidang tugas dan unit setiap minggu. Penat lelahnya berbaloi apabila dapat bersantai mengajar tutor pada waktu malamnya, iaitu semasa kelas berlangsung. Tugas pengendalian semasa kelas tutor KITAB pula akan diambil alih oleh Siti Salehah, Farawahida dan para penyelaras tutor (merangkap Ketua Tutor) pada malamnya.


Melissa (kiri): Presiden PMP merangkap
Timbalan Pengarah Strategik KITAB Fasa 1
Maisarah (kanan): Bendahari KITAB Fasa 1
Alhamdulillah. Bilangan tutor pada minggu pertama sangat menggalakkan sehinggakan ada antara AJK-AJK KITAB terpaksa berkorban hasrat untuk berbakti mendidik anak-anak Desa Bakti. Peluang diberikan kepada tutor-tutor KITAB. Kesibukan dengan pelbagai aktiviti persatuan dan program tidak menghalang Melissa untuk meluangkan waktu memberi sumbangan tenaga dan fikiran dalam memastikan kelancaran program pada minggu pertama.


Salehah (kanan): Timbalan Presiden PMP merangkap
Timbalan Pengarah Operasi KITAB F1.
Dayana (kiri): Ketua Unit Kebajikan KITAB F1.
Bergambar kenang-kenangan selepas tamat kelas ketiga KITAB. Salehah bertanggungjawab mengetuai operasi-operasi semasa program KITAB berlangsung pada waktu malam, manakala Dayana bertindak mengendalikan minuman untuk para peserta dan AJK KITAB. Dayana dan Siti Salehah yang ligat beraksi menjalankan tanggungjawab masing-masing pada malam Kelas KITAB bermula, kelihatan penat di dalam gambar ini. Gambar foto ini diambil khas selepas tamat kelas KITAB, oleh Chu Wai Seng, Ketua Unit Publisiti yang amat disenangi oleh Pengarah Program.


Aemyliza: Setiausaha KITAB Fasa 1
Sedang khusyuk meneliti dan menyemak dokumen-dokumen penting berkaitan dengan program KITAB. Seorang setiausaha yang rajin dan dedikasi dalam menjalankan tugas. Banyak membantu dalam melancarkan aktiviti sepanjang Program KITAB berlangsung, tidak kira sebelum, semasa dan selepas program.


Farahwahida (paling kanan dengan jari simbol V):
Ketua Penyelaras Tutor KITAB Fasa 1

Boleh dianggap sebagai mentee atau perantis utama kepada Cikgu Amien, beliau mewarisi konsep dan sistem penyelarasan tutor yang dicipta khusus untuk Program KITAB. Selain Siti Salehah, beliau dan rakan-rakan seperjuangannya, iaitu Nurul Ain, Nur Salwani dan Nurasyikin, merupakan orang yang diberikan MANDAT oleh Pengarah Program untuk mengetuai para tutor dan melakukan kerja-kerja penyelarasan tutor dan tutee.


Shamilatul (kanan): Ketua Unit Persiapan Tempat
Rakan seperjuangan Aemyliza ini, tekun memberi laporan kepada Pengarah Program. Bertanggungjawab memastikan bilik-bilik dan dewan untuk kegunaan kelas KITAB dapat digunakan. Pada waktu petang, beliau dan Aemyliza serta Cikgu Amien, juga Halimatul akan turun padang untuk menyusun kerusi dan meja bagi kegunaan tutor dan tutee untuk Kelas KITAB pada waktu malamnya. Selalunya Shamilatul dan Aemyliza akan 'berpetang' di Fakulti, dan menunaikan solat Maghrib di Masjid Sultan Ismail, sementara menunggu kelas bermula. Cikgu Amien pula akan pulang dan muncul semula pada malam hari untuk 'menukar mod' dan 'menurun taraf dirinya' daripada seorang Pengarah Program kepada seorang Tutor KITAB yang bahagia.



Dzulfadzli (kiri): Ketua Unit Perhubungan Fasa 1
Tidak kira hujan atau panas, Dzulfadli dan pembantunya Shikin, akan
terus ke rumah warga Desa Bakti apabila ada maklumat terkini yang mesti disampaikan. Kehadiran Dzulfadli dan Shikin banyak membantu meningkatkan keceriaan kelas tutor. Kedua-duanya merupakan orang yang amanah dan boleh dipercayai apabila diberikan tugas.


Hafiz (kanan): Ketua Unit Keselamatan
Hafiz besar dan Hafiz kecil. Kebetulan ketika itu, beliau sedang membimbing tutee Muhd Hafiz, yang merupakan anak kepada Penghulu Desa Bakti (En. Hamid Dahar). Beliau bertanggungjawab menjaga keselamatan para tutee dan tutor, sebelum dan selepas tamat kelas KITAB, setiap minggu, dibantu oleh lima orang rakan sekelasnya yang setia dan fleksibel.



Gambar Halimatul (Ketua Unit Peralatan dan Teknikal) dan Chu Wai Seng (Ketua Unit Publisiti dan jurufoto) sendiri, tidak dapat dirakamkan. Penggerak-pengerak utama ketika itu sedang tekun menjalankan tugas-tugas semasa kelas KITAB dan tidak sempat dirakamkan gambarnya. Pada masa akan datang, gambar-gambar mereka akan dapat dirakamkan, Insya-Allah.