Thursday, March 22, 2007

BERITA: KELAS KETIGA - DAMAI DAN MESRA

RABU, 21 MAC 2007, FAKULTI PENDIDIKAN: Hubungan antara ahli jawatankuasa dengan warga Desa Bakti, juga jalinan mesra antara tutor dan tutee tampak makin erat dan mesra. Respon positif daripada ibu bapa, kegembiraan anak-anak Desa Bakti menjadi cerita dan topik perbualan di sekitar perkarangan Fakulti Pendidikan.

Walau pun pada malam in,i telah bermula Pesta Konvo di padang kawad UTM, namun Fakulti Pendidikan masih tetap dikunjungi oleh para tutor dan tutee yang kekal setia untuk terus mewujudkan budaya intelektual yang positif dan mesra.

Cuba bayangkan apabila ibu bapa bercerita, "Anak saya apabila balik, terus cerita. Sebelum ini dia tak boleh buat Matematik, sekarang dah boleh buat, sebab belajar masa kelas KITAB malam hari itu."

Bagaimana pula perasaan tutor apabila para tutee berebut-berebut mahu belajar dengan mereka, "Saya nak belajar dengan Abang lagi. Best belajar dengan Abang."

Komen dan luahan hati positif yang menyentuh hati lahir dari lidah anak-anak didik dan ibu bapa Desa Bakti, mengenai kejayaan Program KITAB.

Bagaimana pula dengan seorang tutee yang menanti-nanti kehadiran seorang kakak yang mengajarnya pada malam lalu? Sudah terbukti, mahasiswa dan mahasiswi UTM sememangnya berkebolehan dalam membimbing anak bangsa! Tahniah para tutor KITAB!

Nilai kepercayaan yang saling meningkat antara warga Desa Bakti dengan mahasiswa UTM seterusnya mencetuskan hubungan yang semakin erat. Para tutor semakin mengenali para tutee, sebagaimana para ibu bapa turut mengenali para tutor. Ini salah satu objektif Program KITAB yang semakin dipenuhi.

Kelas ketiga kali ini, masih lagi mendapat tajaan minuman daripada Warisan Tunjang yang beroperasi di Kolej Rahman Putra.

Ahli-ahli Jawatankuasa KITAB yang terdiri daripada anggota Persatuan Mahasiswa Pendidikan, Fakulti Pendidikan tampak profesional dalam bidang masing-masing pada malam ini. Tenang, santai dan bergaya, ini adalah ciri-ciri yang ditampilkan mereka pada malam itu. Kepada para AJK KITAB, tahniah dan syabas, sekali lagi!