Sunday, March 4, 2007

Berita Aktiviti Program KITAB: Kejayaan Taklimat Ibu Bapa

JUMAAT, 2 MAC 2007: Satu pertemuan antara Ahli-ahli Jentera Penggerak KITAB dengan Warga Desa Bakti telah berjaya diadakan di Surau Desa Bakti, selepas solat Isyak berjemaah, Jumaat lalu. Bilangan hadirin dianggarkan sekitar 40 orang.

Antara yang hadir ialah Penghulu Desa Bakti, En. Hamid Dahar, Imam Surau Desa Bakti, En. Ahmad Abdullah, Penasihat KITAB, En. Hassan Hushin (Penasihat PMP), Pengarah/Pengasas KITAB, En. Amien (SPACEUTM), Timbalan Pengarah Operasi KITAB, saudari Melissa Rosila (Presiden PMP), Timbalan Pengarah Strategik KITAB, saudari Siti Salehah (Timbalan Presiden PMP), Setiausaha KITAB, saudari Aemyliza (SPI), saudari Farahwahida (Ketua Unit Penyelaras Tutor KITAB), saudara Dzulfadli (Ketua Unit Perhubungan KITAB) dan Noor Dayana (Ketua Unit Kebajikan dan Pengangkutan KITAB), para ibu bapa dan anak-anak Desa Bakti.

Antara aktiviti pada malam tersebut ialah taklimat mengenai Program KITAB, sesi soal jawab dan perbincangan mengenai soal-soal keselamatan dan pengangkutan untuk para peserta KITAB. Ibu bapa telah bersetuju untuk memberi kerjasama, berkongsi pengangkutan untk anak-anak mereka. Ada juga antara ibu bapa yang tampil memberi idea dan pandangan untuk meningkatkan lagi kelancaran program KITAB.

Apa pun, syabas kepada semua pihak yang terlibat dalam program ini, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Kejayaan ini adalah hasil komitmen anda semua. Tanpa anda, siapalah KITAB.

Sementara itu, satu taklimat ringkas sekitar 20 minit akan disampaikan kepada para tutor di Bilik Seminar Aras 2, C15 pada Isnin depan, 5 Mac 2007 (mula 1.00 ptg, tamat 1.20 ptg). Isi kandungan taklimat ini ialah penerangan mengenai tugas-tugas tutor, salah faham mengenai konsep tutor KITAB dan sesi soal jawab mengenai program KITAB.

Mahasiswa UTM yang berminat untuk menjadi tutor, juga dijemput hadir ke Bilik Seminar Aras 2, C15, Fakulti Pendidikan pada masa yang disebutkan. Borang Tutor KITAB juga akan diagihkan.

Pentingnya mengisi borang ini adalah:

  1. Untuk mempercepatkan dan mempermudahkan tugas-tugas mengagihkan tutee kepada tutor. Katakan tutee A mahu membuat kerja rumah Karangan BM Pada masa yang sama tutor A (boleh mengajar subjek BI), tutor B (boleh mengajar subjek BM), maka, dengan adanya data awal (senarai tutor), Penyelaras Tutor boleh terus memberikan tutee tersebut kepada tutor B (sebab Tutor B boleh mengajar subjek BM).
  2. Tutor-tutor yang telah mengisi borang tutor, akan segera disenaraikan dalam senarai kehadiran tutor. Oleh itu apabila tutor ini datang ke kelas bimbingan KITAB, mereka cuma perlu menandatangani pada senarai kehadiran. Tutor yang belum mendaftar boleh datang juga ke kelas bimbingan apabila ada kelapangan (rujuk jadual yang tertampal di poster KITAB), tetapi mesti mengisi borang Tutor.
Kelas pertama KITAB akan diadakan pada Khamis ini, 8 Mac 2007, (mula 8.30 malam), Mahasiswa UTM yang ada kelapangan pada petang Khamis, 8 Mac 2007 (sekitar jam 4-6 petang) dijemput hadir untuk membantu Unit Persediaan Tempat KITAB untuk menyusun kerusi/meja pada waktu petang (Khamis) tersebut. Semoga usaha kebajikan anda akan diberkati-Nya. Susunan awal (waktu petang) dibuat untuk mengelakkan tutor-tutor keletihan pada waktu malamnya untuk sesi kelas bimbingan.

Para tutor dan AJK KITAB dijemput hadir sebelum 8.30 malam untuk tujuan pendaftaran kehadiran. Pakaian bebas asalkan menutup aurat. Alat tulis perlu dibawa sendiri, begitu juga dengan buku-buku rujukan (pastikan nama tutor ada). Tutor diminta mengalas perut sebelum datang ke kelas KITAB.

Kelas KITAB pada 8 Mac akan tamat pada jam 9.45 malam. Ini adalah untuk membolehkan tutor-tutor yang menaiki bas ke program KITAB, balik dengan menaiki bas UTM ke kolej masing-masing.