Monday, March 5, 2007

Marilah Berjuang - Tanamkan Jiwa Pendidik Dalam Dirimu

Islam adalah agama persaudaraan dan perpaduan. Dalam persaudaraan dan perpaduan terkandung nilai-nilai unggul seperti berbuat baik, berkasih sayang, hormat menghormati, tolong menolong, amanah, jujur, bertimbang rasa dan sebagainya. Maka nilai-nilai ini menjadi tunjang di dalam kehidupan bermasyarakat.

Justeru, tuntutan berbuat baik atau melakukan kebajikan tidak terbatas kepada ibu bapa, adik beradik, ahli keluarga atau orang-orang yang ada pertalian darah dengan kita sahaja. Bahkan kita dituntut berbuat baik atau melakukan kebajikan kepada kawan-kawan, jiran tetangga bahkan kepada orang-orang yang kita tidak kenali termasuk juga terhadap haiwan dan makhluk-makhluk yang lain.

Umat Islam mempunyai peluang yang amat luas untuk melipatgandakan pahala khususnya bagi mereka yang dikurniakan harta dan wang ringgit yang banyak. Kerana itu, beruntunglah orang-orang yang diberi oleh Allah s.w.t. kelebihan suka menolong orang lain dan membantu di dalam kerja-kerja kebajikan.

Sabda Rasulullah s.a.w. :

خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Maksudnya : “ Sebaik-baik manusia yang memberi manfaat kepada orang lain”.

Berdasarkan hadir tersebut, maka beruntunglah kita atau bagi sesiapa yang menjadi orang yang banyak memberi manfaat kepada sesama manusia, suka memberi bantuan dalam kerja-kerja kebajikan atau berusaha mengurangkan penderitaan terhadap musibah yang ditanggung oleh seseorang. Oleh itu, yang jelas bagi kita semua, bahawa seruan amalan suka menolong dan membantu orang lain adalah termasuk didalam amal ibadah, bahkan pahalanya lebih besar daripada beriktikaf di dalam masjid.

Ibnu Qayyim Rahimahu Allah menghuraikan hadis tersebut dengan menjelaskan bahawa sesiapa yang berbuat baik dengan orang lain. Allah akan berbuat baik kepada dirinya, dan sesiapa yang bersifat rahmah kepada orang lain, Allah akan bersifat rahmah kepadanya, dan sesiapa yang memberi manfaat kepada orang lain, Allah akan memberi manfaat kepada dirinya, dan sesiapa yang menutup keaiban orang lain, maka Allah akan menutup keaibannya, dan sesiapa yang menegah kebaikan orang lain, maka Allah akan menegah kebaikan kepadanya dan sesiapa yang berhubung kepada yang lain dengan sifat tertentu Allah akan bermuamalah denganya sama dengan sifat itu di dunia dan di akhirat. Oleh yang demikian banyakkan membantu atau menolong orang yang memerlukan bantuan kerana Allah.

Petikan dari sumber: www.islam.gov.my