Wednesday, August 15, 2007

Hikmah: Over Confident - Terlalu Yakin Memudaratkan.

Kadangkala, manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Kejayaan demi kejayaan yang dicapai adakalanya boleh menyebabkan manusia hanyut atau rebah ke arah kegagalan.

Bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Kadangkala kejayaan boleh menjadikan kita menganggap suatu perkara itu adalah mudah atau remeh. Sikap seperti inilah yang akan membinasakan kita. Kita mungkin pernah terdengar bagaimana sebuah pasukan bola sepak yang kuat, atau seorang pemain badminton yang handal, tiba-tiba boleh kalah kepada pasukan atau individu yang tidak ternama. Faktor terlalu yakin dan memandang remeh terhadap pihak lawan, adalah antara faktor-faktor utama.

Berdasarkan fakta kemalangan jalan raya di suatu tempat di Kuala Lumpur, jumlah kemalangan maut mengikut ciri-ciri jalan sepanjang Januari hingga Jun, 2002, didapati, jalan lurus mencatatkan bilangan kemalangan maut yang paling tinggi dengan 85 kes. Ia merupakan bahagian jalan yang paling sesuai untuk memecut. Ini mungkin merupakan salah satu fakta yang menyumbangkan kepada bilangan kemalangan maut yang paling tinggi di bahagian jalan lurus. Seterusnya, bilangan kemalangan maut yang kedua tertinggi berlaku ialah di selekoh dengan 19 kes diikuti dengan bahagian simpang empat/lebih dengan 12 kes. Simpang tiga, dan simpang bercabang T/Y mencatatkan bilangan kes kemalangan maut yang sama iaitu sebanyak 7 kes. 3 kes kemalangan maut lagi berlaku di bulatan dan simpangan bertingkat.

Jumlah kemalangan maut berdasarkan cahaya pula boleh dikelaskan kepada tiga keadaan iaitu siang, malam dan subuh atau senja. Kemalangan maut paling banyak berlaku pada waktu siang iaitu sebanyak 74 kes. Ini diikuti waktu malam dengan jumlah kes sebanyak 42 kes dan akhir sekalai pada waktu subuh/senja iaitu sebanyak 23 kes. Kemalangan maut banyak berlaku pada waktu siang kerana waktu siang merupakan waktu di mana kenderaan paling banyak berada di jalan raya berbanding pada waktu malam dan subuh/senja.

Berdasarkan fakta kemalangan mengikut ciri-ciri jalan raya dan cahaya di atas, dapatkah pembaca semua membuat kesimpulan?

Tidak semua perkara adalah sama. Kita tidak boleh membuat kesimpulan mudah hanya dengan bergantung kepada perasaan yakin kita sahaja. Semua benda harus memiliki bukti. Kesilapan menjadi terlalu yakin akan memudaratkan diri kita.

Keyakinan harus disusuli dengan bukti. Ramai pelajar yakin mereka mampu lulus dalam peperiksaan, tetapi adakah mereka memiliki bukti-bukti yang boleh menyokong? Pelbagai perkara boleh berlaku. Kemalangan, demam, musibah, kesilapan menanda, kehilangan kertas jawapan dan sebagainya boleh menjadi faktor.

Justeru, usaha yang diiringi dengan doa adalah penting. Yakin sahaja tidak mencukupi. Terlalu yakin menyebabkan kita menjadi tidak teliti, tidak dapat mempertimbangkan kemungkinan-kemungkinan buruk yang bakal berlaku, lantaran itu tidak dapat membuat perancangan dengan sempurna untuk mengatasi halangan-halangan yang berlaku.

Kita bernasib baik sekiranya tersedar daripada sikap terlalu yakin. Bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak ada gunanya.

Astagfirulahalazim...
Ucapkan kalimat di atas, moga tenang hatimu, dan kembali kepada kebenaran.

Muhasabah diri oleh,
Mohd Amien Mohd Yasin
Pengarah KBT-KITAB2