Friday, January 26, 2007

Panduan Tutor KITAB 2: Kaedah Bimbingan

PERSEDIAAN TUTOR & ANAK DIDIK

  1. Pastikan tutor membawa alat tulis sendiri dan apa-apa yang dirasakan perlu untuk sesi tutorial.
  2. Kertas-kertas terpakai yang masih ada banyak ruang kosong untuk mengadakan latihan.

APA YANG TUTOR PERLU DAN BOLEH LAKUKAN SEMASA SESI KELAS TUTOR BERLANGSUNG?
Mungkin ada di kalangan mahasiswa belum pernah menjadi tutor, atau mengendalikan anak-anak sebelum ini. Maka di sini dikongsi sedikit panduan asas yang boleh diikuti sepanjang sesi bimbingan. Elakkan respon negatif seperti berleter, menyindir dan berkelakuan kasar terhadap anak didik.


SESI BERKENALAN
  1. Mulakan sesi dengan senyuman. Ini boleh mengurangkan rasa gugup dan gementar semasa mengendalikan anak-anak didik.
  2. Bertanya khabar, boleh juga bertanya nama anak didik, ibu bapa, bilangan adik beradik, kawan rapat, sekolah dan sebagainya.
  3. Perkenalkan diri.

MEMBIMBING ANAK DIDIK MEMBUAT KERJA RUMAH

  1. Sebelum memulakan bimbingan, tanya anak didik sekiranya ada kerja rumah yang tidak disiapkan atau perlu dihantar pada esok hari. Jika ada, utamakan kerja-kerja rumah itu dahulu.
  2. Jika anda melakukan aktiviti ini, tanya anak didik apa yang guru di sekolah arahkan, apa yang guru mahukan dan apa yang telah diajar di sekolah berkaitan dengan kerja rumah tersebut.


LATIHAN PENGUKUHAN BERSAMA ANAK DIDIK

  1. Minta buku latihan sekolah kepunyaan anak didik. Teliti hasil-hasil latihan yang telah dibuat oleh anak didik sebelum ini. Cuba selidik kelemahan dan kelebihan yang ada. Beri pujian bagi hasil kerja yang baik, yang disiapkan dan tulisan yang kemas.
  2. Perhatikan apa kesalahan/kesilapan yang telah dilakukan oleh anak murid dalam latihan. Boleh jadi inilah yang perlu tutor perbetulkan.
  3. Buka buku teks. Tanya anak didik, setakat mana dia telah belajar, topik apa dan apa yang tidak difahaminya. Jika anak murid ragu-ragu, maka berdasarkan buku latihannya, adakan latihan pengukuhan.
  4. Cara untuk mengadakan latihan pengukuhan adalah sama ada dengan meminta anak didik mengulangi soalan yang pernah dibuat sebelum ini, atau member anak didik soalan-soalan yang baru. Mulakan dengan soalan-soalan yang senang dan lihat pencapaian anak didik.


TUNJUK AJAR UNTUK TOPIK-TOPIK YANG TIDAK DIFAHAMI OLEH ANAK DIDIK

Mungkin ada topik yang telah diajar di sekolah, tetapi tidak difahami oleh anak didik. Apabila anak didik bertanyakan hal sebegini, maka tindakan yang tutor boleh lakukan ialah:
  1. Minta anak didik ceritakan bagaimana guru mengajar topik tersebut di sekolah.
  2. Apa istilah, konsep yang disebutkan oleh guru tetapi tidak difahami oleh anak didik tersebut.
  3. Tutor harus member penerangan berkaitan dengan istilah dan konsep tersebut. Rujuk buku teks atau buku rujukan.
  4. Adakan latihan untuk mengukuhkan kefahaman.
  5. Selepas beberapa kali membuat latihan, minta anak didik cuba terangkan bagaimana dia melakukan latihan tersebut.


TUNJUK AJAR TOPIK BARU

Mungkin anak didik anda berminat untuk mempelajari topik-topik yang belum dipelajari. Dalam hal ini anda perlu pastikan anda tahu apa yan perlu diajar. Sekiranya anda ada apa-apa masalah, rasa tidak berkemampuan untuk mengajar, segera maklumkan kepada Penyelaras Tutor. Mengajar topik baru yang belum diajar oleh guru sekolah anak didik tersebut adalah di luar skop tugas tutor. Walau bagaimana seseorang tutor itu boleh melakukannya jika dia mempunyai keyakinan untuk bertindak sedemikian. Pastikan anda memiliki buku-buku rujukan untuk memudahkan pengajaran.



APA YANG TUTOR TIDAK BOLEH BUAT?
  1. Tidak melakukan gangguan atau kekasaran sama ada secara fizikal atau emosi terhadap anak didik seperti mencubit, menghina kebolehan anak didik, menyindir, berleter dan sebagainya.
  2. Bergurau senda yang keterlaluan semasa sesi tutor berlangsung.
  3. Membiarkan anak didik membuat bising, bermain, berborak-borak kosong, mengacau anak didik yang lain atau melakukan aktiviti selain aktiviti tutor.
  4. Pilih kasih. Jangan membeza-bezakan tanggungjawab dan perhatian antara anak didik di bawah bimbingan anda. Anda harus menerima dan membimbing dengan ikhlas mana-mana anak didik yang diamanahkan kepada anda.
  5. Berlagak. Bangga diri atau menunjuk-nunjuk kebolehan sendiri. Tumpukan kepada proses bimbingan, bukan persembahan kehebatan tutor dalam subjek tersebut.

APA YANG TUTOR BOLEH LAKUKAN ATAU SELITKAN DALAM SESI TUTORIAL?
  1. Memberi motivasi, pendedahan berkaitan dengan dunia mahasiswa. Apa yang seronoknya masuk ke universiti, bagaimana dapat masuk ke universiti.
  2. Mencerita pengalaman-pengalaman lalu yang ada kaitan dengan pembelajaran.
  3. Berkongsi tips dan kaedah belajar yang berkesan seperti peta minda, cara mencatat nota dan cara belajar di universiti.


Panduan ini ditulis oleh Mohd Amien Mohd Yasin, untuk rujukan dan kegunaan para tutor KITAB sahaja. Para tutor KITAB boleh menyalin kesemua panduan dalam blog ini untuk rujukan semasa. Segala panduan di dalam blog ini tidak boleh diterbitkan semula oleh mana-mana pihak untuk tujuan komersil atau bersifat keuntungan.

http://kitabutm.blogspot.com