Showing posts with label Panduan Tutor. Show all posts
Showing posts with label Panduan Tutor. Show all posts

Friday, January 26, 2007

Panduan Tutor KITAB 4: Anak Didik

PERSEDIAAN ANAK DIDIK

  1. Membawa buku latihan sekolah untuk memudahkan tutor menyemak dan mengetahui tahap kefahaman anak didik.
  2. Buku teks dan buku rujukan untuk memudahkan bimbingan terhadap subjek yang dibincangkan.
  3. Alat tulis
  4. Baju sejuk (sekiranya kelas kuliah berpenghawa dingin).

KESELAMATAN ANAK DIDIK SELEPAS TAMAT SESI TUTOR
  1. Pastikan tidak ada barang-barang peserta yang tertinggal selepas tamat sesi tutorial.
  2. Tutor diminta untuk membawa anak-anak didik ke tempat yang dikhaskan untuk menunggu ibu bapa/penjaga mereka datang menjemput mereka pulang.
  3. Pastikan ada tutor yang mengawasi anak didik semasa mereka sedang menunggu ibu bapa/penjaga mereka.

Panduan ini ditulis oleh Mohd Amien Mohd Yasin, untuk rujukan dan kegunaan para tutor KITAB sahaja. Para tutor KITAB boleh menyalin kesemua panduan dalam blog ini untuk rujukan semasa. Segala panduan di dalam blog ini tidak boleh diterbitkan semula oleh mana-mana pihak untuk tujuan komersil atau bersifat keuntungan.

http://kitabutm.blogspot.com

Panduan Tutor KITAB 3: Sistem Penyelarasan Tutor

SISTEM PENYELARASAN TUTOR

  1. Setiap tutor akan diberikan 1-2 anak didik pada setiap sesi tutorial. Bilangan maksimum adalah 3 orang.
  2. Bilangan maksimum akan diberikan apabila berlaku kekurangan tutor.
  3. Setiap tutor tidak semestinya akan berdepan dengan anak didik yang sama setiap minggu.
  4. Setiap tutor akan diberikan anak didik yang sama darjah atau tingkatan.
  5. Bagi anak didik yang berstatus kritikal (Darjah 6, Tingkatan 3 dan 5), cara pengagihannya ialah seorang tutor mendapat seorang anak didik.

KEKURANGAN TUTOR – TUTOR TIDAK DAPAT HADIR
  1. Sekiranya anda ada masalah untuk hadir pada sesi tutorial akan datang, sila maklumkan kepada Penyelaras Tutor selewat-lewatnya sehari sebelum kelas tutorial berlangsung.
  2. Sekiranya tutor tidak dapat hadir secara mengejut, anak didik akan diberikan kepada tutor yang hadir.
  3. Sekiranya bilangan tutor terlalu kurang. Ibu bapa akan dimaklumkan mengenai hal ini, dan kelas mungkin akan diadakan dengan bilangan anak didik/tutor yang terhad atau kelas untuk minggu itu dibatalkan.
  4. Walau bagaimana pun, keutamaan untuk mengadakan kelas pada minggu tersebut akan diberikan kepada anak didik yang berstatus kritikal iaitu pelajar UPSR, PMR dan SPM.


TUTOR TAMBAHAN/BERLEBIHAN TUTOR
  1. Adakalanya anak didik tidak dapat hadir pada satu-satu ketika, menyebabkn wujudnya tutor berlebihan bagi satu-satu sesi.
  2. Apabila ini berlaku, tutor ini boleh diserapkan ke mana-mana tutor yang memerlukan bantuan. Bilangan anak didik yang perlu dikendalikan oleh setiap tutor akan dikurangkan.

Panduan ini ditulis oleh Mohd Amien Mohd Yasin, untuk rujukan dan kegunaan para tutor KITAB sahaja. Para tutor KITAB boleh menyalin kesemua panduan dalam blog ini untuk rujukan semasa. Segala panduan di dalam blog ini tidak boleh diterbitkan semula oleh mana-mana pihak untuk tujuan komersil atau bersifat keuntungan.

http://kitabutm.blogspot.com

Panduan Tutor KITAB 2: Kaedah Bimbingan

PERSEDIAAN TUTOR & ANAK DIDIK

  1. Pastikan tutor membawa alat tulis sendiri dan apa-apa yang dirasakan perlu untuk sesi tutorial.
  2. Kertas-kertas terpakai yang masih ada banyak ruang kosong untuk mengadakan latihan.

APA YANG TUTOR PERLU DAN BOLEH LAKUKAN SEMASA SESI KELAS TUTOR BERLANGSUNG?
Mungkin ada di kalangan mahasiswa belum pernah menjadi tutor, atau mengendalikan anak-anak sebelum ini. Maka di sini dikongsi sedikit panduan asas yang boleh diikuti sepanjang sesi bimbingan. Elakkan respon negatif seperti berleter, menyindir dan berkelakuan kasar terhadap anak didik.


SESI BERKENALAN
  1. Mulakan sesi dengan senyuman. Ini boleh mengurangkan rasa gugup dan gementar semasa mengendalikan anak-anak didik.
  2. Bertanya khabar, boleh juga bertanya nama anak didik, ibu bapa, bilangan adik beradik, kawan rapat, sekolah dan sebagainya.
  3. Perkenalkan diri.

MEMBIMBING ANAK DIDIK MEMBUAT KERJA RUMAH

  1. Sebelum memulakan bimbingan, tanya anak didik sekiranya ada kerja rumah yang tidak disiapkan atau perlu dihantar pada esok hari. Jika ada, utamakan kerja-kerja rumah itu dahulu.
  2. Jika anda melakukan aktiviti ini, tanya anak didik apa yang guru di sekolah arahkan, apa yang guru mahukan dan apa yang telah diajar di sekolah berkaitan dengan kerja rumah tersebut.


LATIHAN PENGUKUHAN BERSAMA ANAK DIDIK

  1. Minta buku latihan sekolah kepunyaan anak didik. Teliti hasil-hasil latihan yang telah dibuat oleh anak didik sebelum ini. Cuba selidik kelemahan dan kelebihan yang ada. Beri pujian bagi hasil kerja yang baik, yang disiapkan dan tulisan yang kemas.
  2. Perhatikan apa kesalahan/kesilapan yang telah dilakukan oleh anak murid dalam latihan. Boleh jadi inilah yang perlu tutor perbetulkan.
  3. Buka buku teks. Tanya anak didik, setakat mana dia telah belajar, topik apa dan apa yang tidak difahaminya. Jika anak murid ragu-ragu, maka berdasarkan buku latihannya, adakan latihan pengukuhan.
  4. Cara untuk mengadakan latihan pengukuhan adalah sama ada dengan meminta anak didik mengulangi soalan yang pernah dibuat sebelum ini, atau member anak didik soalan-soalan yang baru. Mulakan dengan soalan-soalan yang senang dan lihat pencapaian anak didik.


TUNJUK AJAR UNTUK TOPIK-TOPIK YANG TIDAK DIFAHAMI OLEH ANAK DIDIK

Mungkin ada topik yang telah diajar di sekolah, tetapi tidak difahami oleh anak didik. Apabila anak didik bertanyakan hal sebegini, maka tindakan yang tutor boleh lakukan ialah:
  1. Minta anak didik ceritakan bagaimana guru mengajar topik tersebut di sekolah.
  2. Apa istilah, konsep yang disebutkan oleh guru tetapi tidak difahami oleh anak didik tersebut.
  3. Tutor harus member penerangan berkaitan dengan istilah dan konsep tersebut. Rujuk buku teks atau buku rujukan.
  4. Adakan latihan untuk mengukuhkan kefahaman.
  5. Selepas beberapa kali membuat latihan, minta anak didik cuba terangkan bagaimana dia melakukan latihan tersebut.


TUNJUK AJAR TOPIK BARU

Mungkin anak didik anda berminat untuk mempelajari topik-topik yang belum dipelajari. Dalam hal ini anda perlu pastikan anda tahu apa yan perlu diajar. Sekiranya anda ada apa-apa masalah, rasa tidak berkemampuan untuk mengajar, segera maklumkan kepada Penyelaras Tutor. Mengajar topik baru yang belum diajar oleh guru sekolah anak didik tersebut adalah di luar skop tugas tutor. Walau bagaimana seseorang tutor itu boleh melakukannya jika dia mempunyai keyakinan untuk bertindak sedemikian. Pastikan anda memiliki buku-buku rujukan untuk memudahkan pengajaran.



APA YANG TUTOR TIDAK BOLEH BUAT?
  1. Tidak melakukan gangguan atau kekasaran sama ada secara fizikal atau emosi terhadap anak didik seperti mencubit, menghina kebolehan anak didik, menyindir, berleter dan sebagainya.
  2. Bergurau senda yang keterlaluan semasa sesi tutor berlangsung.
  3. Membiarkan anak didik membuat bising, bermain, berborak-borak kosong, mengacau anak didik yang lain atau melakukan aktiviti selain aktiviti tutor.
  4. Pilih kasih. Jangan membeza-bezakan tanggungjawab dan perhatian antara anak didik di bawah bimbingan anda. Anda harus menerima dan membimbing dengan ikhlas mana-mana anak didik yang diamanahkan kepada anda.
  5. Berlagak. Bangga diri atau menunjuk-nunjuk kebolehan sendiri. Tumpukan kepada proses bimbingan, bukan persembahan kehebatan tutor dalam subjek tersebut.

APA YANG TUTOR BOLEH LAKUKAN ATAU SELITKAN DALAM SESI TUTORIAL?
  1. Memberi motivasi, pendedahan berkaitan dengan dunia mahasiswa. Apa yang seronoknya masuk ke universiti, bagaimana dapat masuk ke universiti.
  2. Mencerita pengalaman-pengalaman lalu yang ada kaitan dengan pembelajaran.
  3. Berkongsi tips dan kaedah belajar yang berkesan seperti peta minda, cara mencatat nota dan cara belajar di universiti.


Panduan ini ditulis oleh Mohd Amien Mohd Yasin, untuk rujukan dan kegunaan para tutor KITAB sahaja. Para tutor KITAB boleh menyalin kesemua panduan dalam blog ini untuk rujukan semasa. Segala panduan di dalam blog ini tidak boleh diterbitkan semula oleh mana-mana pihak untuk tujuan komersil atau bersifat keuntungan.

http://kitabutm.blogspot.com

Panduan Tutor KITAB 1: Adab dan Etika Sebagai Seorang Tutor

ADAB DAN ETIKA SEBAGAI TUTOR KITAB

Bagi memastikan objektif dan matlamat tersebut tercapai., beberapa syarat atau kod etika telah digariskan dan WAJIB dipatuhi oleh setiap mahasiswa yang menjadi tutor KITAB. Untuk menjadi tutor KITAB, setiap mahasiswa bukan sahaja perlu ikhlas dan jujur dalam menjalankan tugas-tugas kebajikan, tetapi juga diwajibkan mematuhi beberapa syarat berikut. Ini kerana mahasiswa yang menjadi tutor boleh dianggap sebagai insan contoh kepada anak-anak Desa Bakti. Antara perkara-perkara yang perlu diberi perhatian oleh semua tutor KITAB ialah:

  1. Berambut pendek bagi lelaki.
  2. Tidak mewarnakan rambut.
  3. Tidak bertindik, bersubang atau bertatu(bagi lelaki).
  4. Memakai pakaian yang sopan dan bersesuaian semasa menghadiri kelas tutorial.
  5. Ikhlas mengajar dan mampu memberi komitmen sepanjang kelas tutorial berlangsung.
  6. Mengisi ruang masa yang disediakan dengan aktiviti yang berkaitan dengan matlamat program.
  7. Menjaga adab percakapan dan budi bahasa semasa bercakap tidak kira sesama tutor atau dengan anak didik.
  8. Dari segi pemakaian atau kelakuan,tutor lelaki tidak boleh menyerupai wanita, begitu juga tutor wanita tidak boleh menyerupai lelaki.

Panduan ini ditulis oleh Mohd Amien Mohd Yasin, untuk rujukan dan kegunaan para tutor KITAB sahaja. Para tutor KITAB boleh menyalin kesemua panduan dalam blog ini untuk rujukan semasa. Segala panduan di dalam blog ini tidak boleh diterbitkan semula oleh mana-mana pihak untuk tujuan komersil atau bersifat keuntungan.

http://kitabutm.blogspot.com